Kerjaya Saiful Apek

Bakat Saiful (yang ketika itu berusia 25 tahun) dicungkil menerusi pertandingan Sinaran Pasport Kegemilangan musim pertama pada 1994 anjuran TV3, sekali gus popular menerusi sitkom Senario yang disiarkan sehingga 2013. Beliau juga pernah menjadi pengacara rancangan hiburan paling popular di TV3, Melodi bersama Fauziah Ahmad Daud dengan menggunakan nama Apek.[4]

Saiful memiliki syarikat produksi sendiri iaitu Gitu-Gitu Productions Sdn Bhd dan pernah dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003 (ABPBH03).[5] Apek membuat penampilan filem pertama menerusi watak undangan khas dalam filem Puteri Impian 2 arahan Aziz M. Osman lakonan Amy Mastura. Apek dan kumpulannya, Senario muncul bersama dalam filem sulung lakonan mereka, Senario The Movie yang ditayangkan pada 1999. Dalam filem ini, Apek memegang watak bos pesta ria, Apek kemudiannya muncul dalam empat lagi filem lakonan Senario.

Beliau juga pernah muncul dalam telefilem Neon (2003) arahan Mohd Feroz Abdul Kader lakonan Allahyarham Faizal Yusup dan Erik Fuzi bersama ramai pelakon termasuk Azhar Sulaiman, Aziz M. Osman, Rashidi Ishak, Sofi Jikan, Aziz Sattar, Kuswadinata, Abby Abadi, Serina Redzuawan, Zila Bakarin, Rita Rudaini, Kartina Aziz dan ramai lagi.[6] Apek muncul bersama Faizal Hussein dan Zul Yahya dalam filem aksi komedi penyiasatan MX3 arahan Yusof Kelana yang ditayangkan pada 25 November 2003.[7]

Pada 1 November 2004, Apek melancarkan kelab peminatnya Apek's F.C (A.F.C) bagi mengeratkan hubungan silaturahim antara beliau dan peminat.[8][9]

Filem lakonan Saiful yang paling berjaya bagi tahun 2006 ialah Cicak-Man arahan Yusry Abdul Halim. Beliau melakonkan watak utama, bersama pelakon yang terlibat termasuk Fasha Sandha, Aznil Nawawi, Yasmin Hani, Yusry KRU, Jalaluddin Hassan, AC Mizal dan Adlin Aman Ramlie. Apek memegang watak sebagai Hairi, seorang pemuda yang sengaja menelan seekor cicak yang sedang dalam proses uji kaji di makmal. Dia dan rakan karibnya, Danny, bekerja di syarikat milik Profesor Klon, di Bandar Metrofulus.[10] Pada tahun yang sama, beliau muncul dalam rancangan komedi santai Gitu-Gitu Apek yang bersiaran di Astro Ria.[11]

Apek memegang watak sebagai Jimmy dalam filem komedi khayalan, Duyung arahan Prof Madya A. Razak Mohaideen yang menggandingkan beliau bersama Maya Karin yang memegang watak sebagai Puteri.[12] Filem ini ditayangkan pada 6 Mac 2008 hingga kejayaan komersial.[13] Beliau turut menyumbangkan suaranya untuk runut bunyi filem ini dengan menyanyikan lagu bertajuk "Aspalela".[14]

Apek kembali menjayakan peranannya sebagai Hairi/Cicakman dalam filem Cicakman 2 - Planet Hitam yang ditayangkan pada 11 Disember 2008.[15] Watak Cicakman lakonan beliau juga membuat kemunculan khas dalam filem The Wedding Game.[16]

Beliau ditawarkan menyertai Maharaja Lawak Mega 2015, namun menolak bagi menjaga kedudukannya sebagai pelawak senior.[17]

Rujukan

WikiPedia: Saiful Apek http://www.astroawani.com/berita-malaysia/saiful-a... http://www.channelnewsasia.com/stories/entertainme... http://www.imdb.com/name/nm1981757/ http://www.star-ecentral.com/news/story.asp?file=/... http://www.bharian.com.my/Entertainment/BintangPop... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201... http://www.sinarharian.com.my/hiburan/saiful-apek-... http://www.sinarharian.com.my/mobile/hiburan/sisi-...